Month: March 2010

Sekolah Berprestasi Tinggi

Posted on Updated on

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Misi untuk mengangkat sekolah di negara ini ke tahap dunia merupakan antara matlamat kerajaan mewujudkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).  SBT ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan. Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa. Sehubungan dengan itu, pemilihan kumpulan pertama 20 buah SBT yang menyaksikan Pengetua dan Guru Besar telah diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan. 20 buah SBT yang diumumkan tersebut terdiri daripada sepuluh buah sekolah berasrama penuh, empat sekolah harian biasa dan enam sekolah kebangsaan. Senarai penuh SBT tersebut adalah seperti berikut:

1.  SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor.

2.  Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor.

3.  Sekolah Dato’ Abbdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan.

4.  Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak.

5.  Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.

6.  SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

7.  Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra Kedah.

8.  Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan.

9.  Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor.

10. SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah.

11. SMK (P) St. George, Pulau Pinang.

12. Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis.

13. Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya.

14. SMS Muzaffar Syah, Melaka.

15. SK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur,

16. SK Zainab (2), Kota Bahru, Kelantan.

17. SK Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur.

18. SK Convent Kota, Taiping, Perak.

19. SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

20. SK Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru, Johor.

Laman Sosial

Posted on Updated on

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Cuti sekolah ini, tidak  banyak aktiviti yang dapat dilakukan. Selain memenuhi undangan kenduri kahwin, penulis juga kerap melayari Facebook untuk berhubung dengan rakan-rakan yang lain. Penulis perhatikan, rata-rata pengunjung Facebook menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dan berhubung dengan rakan-rakan mereka. Selain dapat mengeratkan tali persahabatan, Facebook juga boleh digunakan untuk propaganda memartabatkan bahasa khususnya bahasa Melayu. Kepada saudara dan saudari yang kerap melayari Facebook, penulis cadangkan agar isu bahasa diperdebatkan dalam laman sembang ini agar semua pengguna Facebook menyedari bahawa bahasa kebangsaan ini semestinya digunakan dengan baik dan dipelihara struktur ayatnya dan dijamin kesantunannya ketika berbahasa. Janganlah ‘merojakkan’ atau menambahkan kecelaruan ketika menggunakan bahasa ini. Saya percaya, bahasa yang indah itu wajar digunakan dengan baik untuk menjamin keindahannya.

Orang luar dan bahasa Melayu

Posted on Updated on

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Pada 5 Mac 2010 berlangsungnya Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri peringkat akhir. Pidato antarabangsa ini disertai oleh 56 peserta dari 51 buah negara dan merupakan penyertaan yang terbesar pernah disaksikan semenjak dianjurkan sebelum ini. Sebagai seorang peminat bahasa Melayu,  penulis berasa amat berbangga menonton siaran langsung Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu ini kerana bahasa kita dituturkan oleh orang asing dengan begitu baik sekali, sehingga dirasakan bahawa pertuturan orang asing lebih baik berbanding dengan bangsa Melayu sendiri. Kalau saudara dan saudara menonton siaran langsung tersebut, saya berpendapat bahawa saudara dan saudari juga sependapat dengan saya. Mereka mampu menggunakan bahasa Melayu dengan baik walaupun bahasa ini merupakan bahasa yang asing untuk mereka. Misalnya, kejayaan peserta negara China, Zhang Song yang menjuarai kategori antarabangsa amat mengujakan. Beliau mampu bertutur dengan fasih sekali. Begitu juga dengan peserta dari Rusia, Olga Vasilevskaya yang menjadi naib johan yang begitu fasih berbahasa Melayu. Olga difahamkan telah melanjutkan pengajian peringkat sarjana di negara kita selepas memenangi pertandingan pidato antarabangsa pada tahun 2007.  Begitulah kesungguhan orang asing belajar bahasa Melayu sedangkan masih banyak lagi rakyat Malaysia yang masih gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik walaupun dilahirkan di negara ini. Sedangkan bangsa-bangsa yang berhijrah mencari rezeki di negara ini seperti Bangladesh dan Nepal dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik dalam masa yang singkat sahaja.

 Cubalah saudara dan saudari renungkan dan apakah puncanya yang menyebabkan hal ini boleh berlaku terhadap bahasa kita?