Orang luar dan bahasa Melayu
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Pada 5 Mac 2010 berlangsungnya Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri peringkat akhir. Pidato antarabangsa ini disertai oleh 56 peserta dari 51 buah negara dan merupakan penyertaan yang terbesar pernah disaksikan semenjak dianjurkan sebelum ini. Sebagai seorang peminat bahasa Melayu, penulis berasa amat berbangga menonton siaran langsung Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu ini kerana bahasa kita dituturkan oleh orang asing dengan begitu baik sekali, sehingga dirasakan bahawa pertuturan orang asing lebih baik berbanding dengan bangsa Melayu sendiri. Kalau saudara dan saudara menonton siaran langsung tersebut, saya berpendapat bahawa saudara dan saudari juga sependapat dengan saya. Mereka mampu menggunakan bahasa Melayu dengan baik walaupun bahasa ini merupakan bahasa yang asing untuk mereka. Misalnya, kejayaan peserta negara China, Zhang Song yang menjuarai kategori antarabangsa amat mengujakan. Beliau mampu bertutur dengan fasih sekali. Begitu juga dengan peserta dari Rusia, Olga Vasilevskaya yang menjadi naib johan yang begitu fasih berbahasa Melayu. Olga difahamkan telah melanjutkan pengajian peringkat sarjana di negara kita selepas memenangi pertandingan pidato antarabangsa pada tahun 2007. Begitulah kesungguhan orang asing belajar bahasa Melayu sedangkan masih banyak lagi rakyat Malaysia yang masih gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik walaupun dilahirkan di negara ini. Sedangkan bangsa-bangsa yang berhijrah mencari rezeki di negara ini seperti Bangladesh dan Nepal dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik dalam masa yang singkat sahaja.
Cubalah saudara dan saudari renungkan dan apakah puncanya yang menyebabkan hal ini boleh berlaku terhadap bahasa kita?