Uncategorized

ADAB KETIKA MARAH

Posted on Updated on

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Rasulullah s.a.w. pernah menasihatkan seorang lelaki: “Jangan marah.” (Riwayat al-Bukhari). Menurut al-Khattabi, maksud larangan tersebut adalah menjauhi sebab-sebab yang mencetuskan marah dan jangan melakukan sesuatu yang mengarah kepadanya. Berikut merupakan adab-adab ketika marah:

a. Jangan marah kecuali kerana Allah. Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Demi Allah, Baginda tidak pernah marah kerana urusan peribadi yang baginda hadapi kecuali apabila larangan Allah dilanggar, maka baginda akan marah kerana Allah.” (Riwayat al-Bukhari).

b. Ingat kekuasaan dan keagungan Allah ketika marah.

c. Menahan marah. Allah menyukai orang yang menahan marah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “…dan orang yang menahan marahnya dan memberi maaf kepada orang lain dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Al-Imran 3:134)

d. Berlindung kepada Allah ketika marah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang yang marah mengucapkan  ‘A’uzubillah’ (aku berlindung kepada Allah), nescaya akan reda kemarahannya.” (Riwayat Ibn ‘Adi)

e. Diam. Daripada Imam Ahmad, maksud sabda Rasulullah s.a.w.: “Ajarilah, permudahkanlah dan jangan menyusahkan. Apabila salah seorang daripada kalian marah, hendaklah ia diam.”

f. Mengubah posisi. Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu marah ketika berdiri, maka hendaklah ia duduk. Apabila marahnya tidak hilang juga, makahendaklah ia berbaring.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah).

g. Berwuduk. Marah itu api syaitan. Oleh sebab itu, sejukkan marah dengan berwuduk.

h. Bersabar dan memaafkan. sebaik-baik orang yang marah, memaafkan orang yang dimarahinya. Maksud firman Allah:”Dan jika mereka marah, mereka memberi maaf.” (Surah al-Syura 42:37).

i. Jangan berdendam. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar.” (Surah al- Nahl 16:126).

SOLUSI (25)

Subjek Sejarah wajib lulus SPM

Posted on Updated on

Mingguan Malaysia, 24 Oktober 2010

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu adalah sama seperti langkah menjadikan mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapatkan sijil SPM.

‘‘Selaras dengan pandangan yang telah dikemukakan oleh sebahagian besar jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini, saya ingin mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran memutuskan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus.

‘‘Pada masa ini di peringkat sekolah menengah, ia adalah mata pelajaran yang wajib diambil oleh setiap pelajar tetapi tidak wajib lulus,’’ katanya ketika menggulung perbahasan pada perhimpunan berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Menurut Muhyiddin, 2013 dipilih bagi melaksanakan langkah itu berikutan kementerian memerlukan masa untuk melatih guru dan menyediakan pelajar bagi menghadapi sistem baru berkenaan supaya mereka tidak terkejut.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), maka mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek teras di sekolah rendah mulai 2014.

‘‘Seperti yang telah dibangkitkan oleh wakil Perak dan Kedah, di peringkat sekolah rendah pada masa ini elemen sejarah hanya diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan langkah menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan kaedah pentaksiran berasaskan sekolah akan dimulakan pada 2014 iaitu dua tahun lebih awal daripada tarikh asal ditetapkan.

‘‘Kita akan mulakan lebih awal kerana ada tuntutan daripada perwakilan UMNO supaya ia disegerakan tetapi kita perlu ada tempoh masa untuk menyiapkan usaha bagi melatih semula guru dan sebagainya,” katanya.

Mengenai langkah meningkatkan jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan teknik dan vokasional, beliau berkata, peruntukan pembangunan sebanyak RM340 juta untuk tujuan itu di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) adalah tidak mencukupi dan akan ditambah pada masa depan.

Selain itu juga, katanya, kerajaan akan menambah dua sekolah menengah pendidikan vokasional khusus untuk pelajar kurang upaya pendengaran, penglihatan dan yang menghadapi masalah pembelajaran.

Tambah beliau, kerajaan juga akan meneliti saranan Pergerakan Wanita UMNO ketika perhimpunan itu supaya kerajaan mengkaji semula keseluruhan sistem pendidikan negara.

‘‘Saya bersetuju bahawa sudah sampai masanya satu laporan baru dikeluarkan tentang cara kita menambah baik sistem pendidikan negara pada masa akan datang,’’ katanya.

ANALISIS SOALAN PERCUBAAN SPM 2010

Posted on

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Berdasarkan soalan percubaan spm 2010 yang dikumpulkan dalam blog ini, saya telahpun membuat analisis untuk soalan 2 (b), soalan 2 (c) , soalan 2 (d) dan soalan 4 (N0vel). Disebabkan tahun ini merupakan tahun terakhir penggunaan teks komsas lama, analisis ini tidak boleh dijadikan sebagai ‘ramalan’ kerana kemungkinan aspek lain keluar dalam soalan spm tahun ini adalah besar dan hal ini sukar untuk diramalkan. Walau bagaimanapun, saudara dan saudari bolehlah memuat turun analisis ini untuk diteliti tajuk-tajuk popular yang keluar dalam peperiksaan percubaan seluruh Malaysia dan memudahkan anda memberi fokus secara lebih mendalam. Terima kasih.

MUAT TURUN – ANALISIS SOALAN PERCUBAAN SPM 2010

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Posted on Updated on

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ketika ini calon-calon SPM di Pulau Pinang sedang menduduki peperiksaan percubaan SPM. Malahan ada calon-calon SPM di negeri-negeri tertentu telah selesai menghadapi peperiksaan ini. Saya ingin mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan kepada semua calon SPM tahun ini. Tidak ketinggalan juga kepada calon-calon PMR yang bakal menghadapi peperiksaan mulai 5 Oktober 2010 ini. SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN dan diharapkan semua calon dapat menjawab dengan sebaik mungkin. InsyaAllah.

SOALAN PERCUBAAN SPM 2010

Posted on Updated on

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Anda boleh mendapatkan soalan percubaan spm 2010 mulai hari ini. Soalan-soalan ini akan ditambah dari semasa ke semasa. Sila dapatkan melalui pautan BANK SOALAN.

ANALISIS SOALAN BM2 SPM

Posted on Updated on

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kalau anda berminat untuk mendapatkan analisis soalan bm2, bolehlah muat turun dengan membuka pautan BANK  SOALAN. Analisis bermula 2001 hingga 2010 (JUN) untuk semua soalan Kertas 2.

CERAMAH TEKNIK MENJAWAB BM

Posted on Updated on

Pada 12 Ogos 2010 (2 Ramadan 1431) penulis telah memberikan ceramah di SMJK Chung Ling, Butterworth tentang teknik menjawab Bahasa Melayu 2. Pelajar Tingkatan 5 sekolah ini yang melebihi 400 orang terlibat dalam ceramah ini. Terima kasih kepada anda semua kerana telah memberikan perhatian dan kerjasama sepanjang ceramah yang diadakan tersebut.

SELAMAT BERPUASA

Posted on Updated on

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kepada semua pengunjung lamanbahasa, selamat menjalani ibadat puasa dan semoga amalan kita sepanjang bulan ramadhan ini diberkati Allah.

CERAMAH TEKNIK MENJAWAB BM SPM

Posted on Updated on

Ceramah ini diadakan oleh penulis di SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas pada 23 Julai 2010.  Ceramah selama dua jam ini khusus membincangkan teknik menjawab Bahasa Melayu Kertas 2. Semua murid Tingkatan Lima terlibat. Terima kasih atas kerjasama anda semua sepanjang ceramah ini berlangsung.

Berikut gambar-gambar yang sempat diambil oleh penulis selepas ceramah itu berakhir:

NILAI KEDUDUKAN BAHASA MELAYU

Posted on Updated on

 

Persidangan Meja Bulat Dasar Memartabatkan  Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) telah merumuskan :

1. Meminta kerajaan memberi elaun kepada guru bahasa Melayu, sekali gus memastikan lebih ramai guru pakar serta terlatih dalam bahasa Melayu.

2. Kurikulum bahasa Melayu bukan saja perlu mengutamakan ujian lisan dalam bentuk prosa dan puisi dengan keputusannya diambil kira dalam peperiksaan, bahkan mata pelajaran itu mesti dijadikan syarat wajib lulus dengan KEPUJIAN untuk mendapat sijil.

3. Berharap Ujian Lisan Bahasa Melayu (ULBS) diubah kepada cara lama kerana kaedah ULBS dengan guru sekolah sendiri memberi markah berdasarkan penilaian ditetapkan menyebabkan murid tidak bersungguh-sungguh.

4. Keputusan BM juga perlu diambil kira dalam syarat untuk masuk ke IPT dan seterusnya ditekankan sebagai syarat untuk mendapat pekerjaan sama ada dalam sektor awam atau swasta.

5. BPK di Kementerian Pelajaran juga diharap memastikan keseimbangan antara isi kandungan kurikulum dengan unjuran guru yang diperlukan kerana bahagian itu hanya membabitkan penyediaan isi kandungan.

6. Sekiranya subjek bahasa Inggeris mendapat peruntukan RM1 juta, maka sewajarnya bahasa Melayu juga mendapat peruntukan yang sama, bertepatan dengan konsep MBMMBI.

7. Kementerian perlu mewujudkan aliran sastera semula dengan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu diwajibkan pengajarannya di sekolah.

Buat masa ini, Kesusasteraan Melayu hanya ditentukan pengetua sekolah sedangkan mata pelajaran Kesusasteraan Cina dan Kesusasteraan Tamil pula diwujudkan oleh pengetua di sekolah yang majoriti pelajarnya Cina atau India serta diambil pelajar bijak dari aliran sains. Persoalannya, kenapa sekolah majoriti pelajar Melayu tidak menawarkan subjek Kesusteraan Melayu?